5 Mei 2013
Satu lagi tarikh yang masuk dalam sejarah Malaysia. Rupanya sudah 12 kali pilihanraya diadakan di Malaysia setelah Malaysia merdeka. Setakat ini saya jadi pengundi untuk tahun kedua. Sebelum pilihanraya, perang poster memang meriah. Tapi sekarang dah rasa macam sampah pula, sebab terbiar, tak ada siapa yang ambil inisiatif untuk bersihkan. Bukankah sepatutnya sebagaimana kita bersemangat pasang bendera/poster muka parti masing-masing, macam tu la semangat untuk bersihkan jalanan untuk kembali ke keadaan asal. Saya harap akan ada tindakan pembersihan tidak lama lagi. Nasib baik rumah abah tak ada pasang apa-apa bendera. Sebab kitorang sokong dalam hati aje.
Hari Ahad tu saya pergi ke pusat undi di Parit Jelutung (selang 2 kampung) dalam pukul 11.30 pagi dengan Mak dan Siti. Agak ramai tapi tidaklah sampai beratur panjang. Saluran saya paling cepat, tapi saluran Mak lambat sikit. Saya rasa lambat cepat proses pengundian bergantung kepada urusetia di dalam saluran masing-masing. Kalau sebut nombor IC laju, maka cepatlah, kalau baca satu-satu memang lambatlah.
Kali ni juga sistem penandaan dakwat kekal diperkenalkan. Entahlah apa tujuannya, tapi maksud dakwat kekal tu macam kurang tepat aje bunyinya. Kalau siram air memanglah tak hilang, tapi kalau basuh dengan sabun dan tenyeh sikit dengan span mandi tu, boleh hilang sebenarnya. Tinggal sisa sikit kat dalam kuku (macam kuku orang pengotor gitu). Kalau tak mandi dan tak basuh tangan tu memang kekal la dakwat tu.
Lepas tu hantar Siti buang undi di Parit Semarang, Ayer Hitam. Tiba-tiba nama dia kena buang undi di sana pula. Nasib baik tak lah jauh sangat. Petang pula hantar Abah. Mula-mula Abah nak pergi sendiri (tak nak join kitorang konon-konon), tapi sebab petang tu hujan, jadi terpaksa hantar. Rupanya petang semakin sesak, sebab hujan gerimis, masing-masing bawa kereta.
Malam Ahad pula sibuk tengok TV, mula-mula bersemangat tengok keputusan, tapi semakin malam, semakin boring, lepas tu konon-konon heboh ni Isnin cuti. Tapi sampai sudah tak ada pengumunan cuti. Jadi Isnin pagi tu balik JB dan terus masuk ofis. Kerja pun ala-ala aje. Borak aje lebih, banyak berita panas lah katakan.
Saya kongsikan di sini gambar sekitar hari mengundi dan suasana sekitarnya.
Suasana sekitar tempat mengundi di Parit Jelutung.
Ramai yang datang naik motosikal, jadi kereta kurang.
Saya rasa masing-masing galak ambil gambar jari sendiri. Saya pun termasuk sekali.
Perang bendera di Parit Raja.