Pages

Sunday, June 8, 2014

Rumusan Hujung Minggu

Saya terinspirasi daripada satu blog masakan yang saya suka baca. Setiap hari minggu dia akan buat satu entry Friday Things untuk berkisah tentang kehidupannya.

1. Hari minggu ini agak padat buat saya. Hari Sabtu saya ada majlis kahwin bekas rakan serumah saya di Senggarang. Walaupun tak berapa jauh dari rumah saya, tapi oleh sebab tak selalu lalui kawasan Senggarang, jadi berpusing-pusing jugalah. Pakai GPS pun tak berapa membantu. Akhir sekali, tanya orang di stesen minyak. Alhamdulillah jumpa juga. Semoga perkahwinan Lina & suami berkekalan hingga ke jannah dan sentiasa berada dalam lindungan Yang Maha Esa.

2. Hari Ahad pula jalan-jalan di Mini Malaysia, Melaka. Pertama kali pergi semasa saya masih kecil. Tapi memori yang masih melekat ialah kes topi terbang. Maklumlah, zaman 80an kereta pakcik saya tak pakai penyaman udara, buka tingkap sampai habis, saya pula gatal melaram topi cantik yang ada renda-renda. Akibatnya terbang melayang. Saya pula melalak tak sudah. Oleh sebab sekarang musim cuti sekolah, maka ramailah pengunjung. Paling menarik rumah Melaka. Banyak perabot antik. Meja solek yang sarat ukiran. Memang jatuh hati. Di rumah Terengganu pula ada aktiviti mewarna batik. Hanya dengan RM10, kita dapat keluarkan bakat seni dalam diri.

3. Akhir-akhir ni memang musing kupu-kupu mati. Merata-rata nampak kupu-kupu ini tersadai, masih hidup tapi kepaknya sudah tak berapa cantik.

Cukuplah untuk hujung minggu ini, jumpa lagi lain kali.




Rafeah Sapari

Sunday, June 1, 2014

Jem

Alhamdulillah, hari ni dapat ilmu baru. Ilmu buat jem. Asal idea tercetus sebab nampak buah mangga abah yang tengah masak ranum. Mangga ni agak bersabut dan masam sebab mangga kampung. Tiap-tiap pagi mesti jumpa yang gugur dalam 5-7 biji. Semua masih elok cuma terlebih masak. Jadi saya tanya mak, boleh buat tak jem  dari buah ni, mak kata cuba lah. Tapi mak tak pernah buat.

Jadi gigihkan diri google cari resepi jem mangga. Dapat satu laman web ni. Cara buat dia agak mudah. Cuma perlukan kesabaran. Resepi diberi untuk 10 biji mangga. Tapi saya buat hanya 4 biji sahaja. Buat banyak-banyak takut tak menjadi. Masa yang diambil dalam sejam.

Sumber resepi:
http://www.masalaherb.com/2013/06/homemade-mango-jam-recipe.html

Resepi saya:
Bahan-bahan:
4 biji mangga
1/2 biji buah lemon (ambil kulit dan juga isi. Buang yang bahagian putih antara kulit dan isi)
Gula secukupnya (anggaran 2 cawan ikut tahap manis)

Cara-cara buatnya amat mudah. Kupas mangga, masukkan lemon dan gula. Mangga sebiji-sebiji masukkan terus. Gunakan api perlahan, masukkan kesemua bahan tersebut dan masak sehingga pekat. Pastikan sentiasa dikacau. Tak perlu letak air sebab nanti semasa proses memanas, air dari lemon dan mangga akan keluar. Masak sehingga pekat, agak-agak macam jem yang selalu kita beli.

Keluarkan biji mangga, kulit dan buah lemon. Bila sejuk dah boleh dibotolkan.

Kelebihan kita masak buah mangga ni sebiji-sebiji ialah sabut mangga akan terlekat dengan biji. Jadi jem ini tidak ada sabut mangga.

Selamat mencuba.



Rafeah Sapari